KUALA LUMPUR, 11 Feb – Ahli parti dalam Perikatan Nasional (PN) dinasihatkan agar tidak berpaling tadah kerana hal remeh-temeh.

Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri, berkata antara isu yang mungkin menyebabkan ada antara ahli terbabit tidak berpuas hati ialah apabila mereka tidak diangkat sebagai calon, atau ‘termakan’ tawaran imbuhan’ keduniaan parti lain.

Tambah penyandang Adun Tenang itu lagi, musuh sebenar PN ialah sifat buruk yang sudah sebati dalam pemimpin Umno sehingga merosakkan sistem masyarakat, tadbir urus dan maruah negara.

Katanya, adalah sesuatu yang merugikan jika ahli PN meninggalkan daripada parti itu kerana hal-hal remeh dan bersekongkol serta menggadai maruah demi menjadi sebahagian daripada “pihak yang telah merosakkan sejarah politik negara dan memalukan Malaysia di seluruh dunia”.

“PN menasihatkan ahli-ahli dan barisan kepemimpinan semua peringkat supaya jangan berpaling tadah semata-mata kerana hal remeh seperti tidak puas hati atau tidak dicalonkan dalam PRN tanpa menghiraukan kesan jangka panjang kepada keperibadian mereka.

“Musuh sebenar yang dihadapi PN bukan sahaja parti lawan bahkan sifat-sifat buruk yang sebati dalam diri pemimpin Umno yang ternyata telah merosakkan sistem masyarakat, tadbir urus serta maruah negara.

“Justeru, PN berharap jangan ada ahli dan pemimpin parti ini terpedaya dengan apa juga bentuk imbuhan keduniaan yang ditawarkan oleh kumpulan pecah integriti ini,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Tambah ketua Bersatu Ledang itu lagi, anggota PN juga diingatkan agar tidak mudah terpedaya dengan dakwaan mengenai ada ahli Bersatu yang meninggalkan parti terbabit, yang menurutnya, hanyalah dakyah dan permainan pihak lawan untuk menimbulkan kekeliruan.

Sebaliknya, kata Mohd Solihan lagi, PN menerima banyak keluhan daripada rakyat yang mengalami “kebosanan dan kelesuan politik” berikutan tindak-tanduk pemimpin Umno tertentu sehingga mereka bertekad mahu menamatkan riwayat era kerajaan parti berkenaan.

Menuju PRN yang bakal berlangsung 12 Mac nanti, Mohd Solihan berkata, PN semakin mendapat sokongan dan kepercayaan daripada tiga sektor pengundi iaitu kumpulan atas pagar, pengundi baru, serta pengundi Undi18 yang didakwanya yakin dengan prinsip perjuangan Pengerusi PN Muhyiddin Yassin.

Sokongan itu, katanya, dapat dilihat apabila kumpulan-kumpulan berkenaan menjadi hadirin ceramah Siri Jelajah Penerangan Isu Semasa Johor di peringkat DUN serta parlimen serta pelbagai program sejak kebelakangan ini.

“Terkini, pejabat bahagian Bersatu turut menerima banyak borang permohonan daripada ketiga-tiga kumpulan itu untuk menyertai parti manakala yang lain tampil menyatakan sokongan kepada Bersatu serta PN pada PRN Johor akan datang,” katanya.

Kumpulan itu dakwa Mohd Solihan, turut menyertai pelbagai platform media sosial untuk menyatakan sokongan dan memberi komen positif kepada teks yang dimuat naik pemimpin PN, yang prinsip PN diyakini akar umbi dan diterima oleh rakyat Johor.