LEDANG, 12 Feb – Cawangan BERSATU Bahagian Ledang merekodkan banyak permohonan menjadi ahli parti berikutan kebosanan rakyat kepada sikap pemimpin UMNO selain ‘mood’ Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang melanda sekarang.

Ketua Bahagian BERSATU Ledang, Mohd Solihan Badri berkata, kumpulan atas pagar, pengundi baharu serta pengundi ‘Undi 18’ adalah antara yang menyerahkan borang keahlian atau menyatakan sokongan kepada parti, sejak kebelakangan ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Perikatan Nasional Johor berkata, lima cawangan menerima 153 permohonan ahli iaitu cawangan Jalan Sialang, cawangan Tangkak Selatan, cawangan Telok Rimba, cawangan Belemang dan cawangan Asahan Relau.

“Cawangan lain turut merekodkan pertambahan permohonan menjadi ahli. Borang-borang permohonan keahlian diserahkan di Pejabat Bahagian BERSATU Ledang dan di rumah pemimpin-pemimpin cawangan,” katanya kepada Info Johor sambil memberitahu perkembangan sama turut berlaku di semua bahagian BERSATU di seluruh Johor.

Mohd Solihan berkata, kumpulan itu menyakini prinsip-prinsip perjuangan parti diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berteraskan integriti serta sistem nilai, mampu membawa pembaharuan dalam era kemajuan ini kepada negara.

Ujarnya, sokongan turut dizahirkan apabila mereka menjadi sebahagian audian ceramah Siri Jelajah Penerangan Isu Semasa Negeri Johor di peringkat Dewan Undang Negeri (DUN) serta Parlimen serta pelbagai program parti.

“Saya merumuskan, perkembangan ini membuktikan semakin ramai rakyat akar umbi mempunyai keyakinan tinggi kepada kepemimpinan Perikatan Nasional yang menawarkan elemen, prinsip serta penggabungan kerjasama bersifat universal dan boleh diterima secara harmoni oleh Bangsa Johor.

“Kami turut menerima banyak maklum balas mengenai kebosanan dan kelesuan politik kerana sikap pemimpin UMNO sehingga mendorong mereka menyokong BERSATU,” katanya.