TELUK KUMBAR, 12 Feb – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) akan membentangkan Rang Undang-undang Perubahan Iklim negara pada sidang Parlimen akan datang.

Ahli Parlimen BERSATU Nibong Tebal yang juga Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr Mansor Othman berkata, pihaknya kini di peringkat akhir menyiapkan kerangka undang-undang perubahan iklim tersebut untuk dibentangkan.

“Antara kandungan rang undang-undang itu termasuk memastikan bahawa adaptasi perubahan iklim dapat dilaksanakan bagi mengurangkan impak banjir dan sebagainya.

“Selain itu kandungan rang undang-undang berkenaan adalah mitigasi perubahan iklim dan mekanisme pematuhan terhadap peraturan dan undang-undang yang dibina,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Rumah Pam Tebatan Banjir hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran negeri, Ir Zainuddin Yusoff dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz..

Projek Rumah Pam Tebatan Banjir Teluk Kumbar itu siap sepenuhnya pada 10 Disember tahun lalu dengan menelan kos RM10 juta.

Mansor berkata, rumah pam itu memberi impak positif kepada rakyat tempatan terutamanya ketika berhadapan dengan perubahan iklan yang tidak menentukan sehingga mengakibatkan banjir yang serius serta luar jangka.

“Projek ini memberi manfaat kepada 21,800 penduduk yang berada dalam kawasan perlindungan banjir seluas tujuh kilometer persegi ini yang mana sebelum ini mereka berdepan kesulitan banjir sejak beberapa tahun.

“Selain itu, kerajaan persekutuan juga telah menyalurkan RM150 juta kepada JPS Pulau Pinang untuk melaksanakan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Pinang yang dijangka bermula Jun tahun ini,” ujar beliau.

Selain Sungai Pinang, RTB juga akan dilaksanakan di beberapa kawasan sekitar negeri ini antaranya di Teluk Bahang, Pulau Betong, Balik Pulau serta Taman Siakap.