KUALA LUMPUR, 15 Feb – Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN di Phnom Penh, Kemboja.

Kementerian Luar Negeri dalam kenyataannya memaklumkan, sesi itu berlangsung selama dua hari bermula 16 Februari.

“Sesi pemukiman ini akan didahului dengan Mesyuarat Pegawai-pegawai Kanan ASEAN (SOM) pada 15 hingga 16 Februari,” katanya pada Selasa.

Delegasi Malaysia ke ASEAN SOM akan diketuai Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob yang juga merangkap Pegawai Kanan ASEAN-Malaysia.

Kemboja merupakan Pengerusi ASEAN bagi tahun ini dengan bertemakan ‘ASEAN A.C.T: Addressing Challenges Together’.

Sesi pemukiman tersebut akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Negeri, Prak Sokhonn dan Kerjasama Antarabangsa Kemboja, dengan penyertaan menteri-menteri luar negeri ASEAN, Setiausaha Agung ASEAN serta wakil dari Myanmar.

“Antara yang akan dibincangkan oleh menteri luar negeri ASEAN adalah pelaksanaan serta tindakan susulan terhadap keputusan-keputusan yang telah dicapai pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta sidang-sidang kemuncak yang berkaitan dan hubungan luar ASEAN,” katanya.

Di samping itu, Kementerian Luar Negeri berkata, menteri-menteri luar negeri ASEAN juga akan membincangkan inisiatif untuk menggerakkan bidang-bidang keutamaan dan agenda ASEAN di bawah Kepengerusian Kemboja 2022 serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

Dalam usaha negara anggota ASEAN ke arah membangunkan Visi Komuniti ASEAN Pasca-2025, Malaysia selaku Peneraju Utama dan Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai visi itu kekal komited untuk mendukung kepaksian ASEAN dan menyokong Kemboja selaku pengerusi bagi memastikan kemajuan berterusan ASEAN di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Lawatan ini akan dikendalikan dengan mematuhi sepenuhnya tatacara prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia dan Kemboja,” katanya.