MERSING, 17 Feb – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yasin komited dalam memberi penekanan terhadap memperbaiki taraf hidup belia dengan peluang pekerjaan selain memperkasakan sumbangan wanita dalam ekonomi, sekiranya PN mentabdir Johor.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata ini merangkumi latihan kemahiran, ilmu pengetahuan dan sasaran pendapatan lebih RM1,200 sebulan.

“Nasib baik orang FELDA ini baik sikit sebab (harga) kelapa sawit bagus, di tempat lain tak cukup makan, bagi apa pun dia ambil, nyata keadaan daif yang mana sebahagian besar adalah orang Melayu kita.

“Saya berjanji, PN buat sesuatu untuk mereka, anak muda mereka yang tiada pekerjaan, kita carikan pekerjaan, kita latih mereka betul-betul, dapat pendapatan mungkin lebih RM1,200 sebulan.

“Wanita kita akan bela nasib wanita, tak biarkan mereka jadi begitu sahaja, bagi dia cukup dengan ilmu, pengalaman, latihan dan sebagainya. Bukan sahaja nak mendidik anak di rumah tetapi juga menyumbang kepada soal pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Bahagian Mersing, di Felda Tenggaroh 3, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Datuk Dominic Lau; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Dr Latiff Ahmad; Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin dan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Muhyiddin berkata PN mempunyai agenda besar supaya Johor menjadi negeri paling cemerlang, gemilang dan rakyatnya menjadi maju, disegani serta dihormati.

“Saya akan bantu Johor, siapa bakal jadi Menteri Besar PN, tak kira siapa, dia adalah orang yang layak dan saya boleh jadi penasihat ekonomi.

“Kita ada agenda besar untuk rakyat sebab itu slogan kita gunakan dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor ini adalah Demi Bangsa Johor. PN akan berusaha sedaya upaya yang mungkin untuk kita bangun dan bantu.

“Supaya Johor yang terkesan berat disebabkan oleh masalah COVID-19 dengan ratusan ribu rakyat Johor sudah menjadi rakyat miskin tiada pendapatan,” katanya.