MERSING, 17 Feb – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai medan terbaik kepada pengundi negeri itu untuk ‘mengajar’ golongan pemimpin parti tertentu yang sombong dan bongkak.

Pesuruhjaya PAS Negeri Johor, Abdullah Husin menegaskan sikap yang ditonjolkan golongan itu adalah gambaran sikap tidak baik dalam memimpin negara, sekali gus menggambarkan sesuatu yang tidak baik yang boleh berlaku pada masa akan datang.

“Sebagaimana disebutkan saudara pengacara majlis tadi bahawa sesuatu yang berlaku ini menjadi iktibar kepada kita.

“Tidak sepatutnya seseorang itu atau sesuatu golongan itu merasa sombong dan bongkak apabila dia merasakan ada kekuatan dan melupakan kawan-kawan.

“Bukan sahaja melupakan tetapi bahkan menghina kawan dan seumpamanya.

“Untuk memastikan masa depan negara kita maka kita mestilah berani membuat perubahan dan dengan izin Allah SWT dengan penyatuan dan gabungan di antara BERSATU, PAS dan GERAKAN dalam PN.

“Ia satu peluang membuat yang baik kepada kita, maka kita mestilah berani membuat keputusan membuat perubahan dan dengan izin Allah SWT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Bahagian Mersing, di Felda Tenggaroh 3, malam tadi.

Hadir sama, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Turut hadir, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Datuk Dominic Lau; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Dr Latiff Ahmad; dan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Abdullah mengingatkan seluruh ahli PAS termasuk jentera pilihan raya supaya bersama-sama berusaha membuktikan kekuatan serta kesungguhan untuk mencapai kemenangan dalam PRN Johor nanti.

“Maka apabila kamu berazam maka hendaklah kamu berserah kepada Allah setelah kita berusaha semaksimum mungkin kita berserah kepada Allah.

“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadanya, jadi saya mewakili rakan-rakan pimpinan PAS di semua peringkat menyatakan kita akan memberikan iltizam komitmen yang sebaik mungkin dalam PRN yang akan berlangsung tidak berapa lama lagi,” katanya.

Beliau berkata, pemerhati politik melihat bahawa PRN Johor ini yang akan berlangsung tidak lama lagi menjadi satu kayu ukur untuk pilihan raya umum akan datang.

“PRN Melaka belum lagi menjadi kayu ukur, negeri Johor kelak membabitkan pengundi muda, automatik, yang lebih besar dengan jumlah kerusi yang banyak 56 kerusi di DUN dan kepelbagaian perkara dan suasana isu semasa inilah menjadi ukuran kepada PRU yang ke-15,” katanya.