MERSING, 17 Feb – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengulangi dakwaannya bahawa dua pemimpin kanan UMNO cuba meminta beliau untuk berbuat sesuatu tentang kes mahkamah yang mereka hadapi.

Menamakan dua pemimpin itu sebagai Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Najib Tun Razak, Presiden BERSATU itu berkata, beliau enggan melayani permintaan itu kerana tidak mahu mencampuri urusan mahkamah.

Namun, dakwa Muhyiddin lagi, keengganan itu menyebabkan beliau hilang jawatan Perdana Menteri, selepas Ahmad Zahid menarik balik sokongan menyebabkan tugasnya untuk mengawal penularan COVID-19 dalam negara terhenti.

“Saya beritahu Zahid saya tak boleh campur. Kalau dia tak buat okeylah. Tentu mahkamah cakap dia tak salah, dan bebas.

“Rupanya dia marah dan tak puas hati. Hantar banyak delegasi, kawan dia, minta tangguhkan kes, lambatkan kes. Saya mana boleh buat begitu. Ini soal urusan mahkamah.

“Satu hari kemudian, bos awak, ‘malu apa bosku’ (Najib) datang ke pejabat saya beri penghormatan kepada saya Perdana Menteri.

“Dalam cerita punya cerita, cerita tu juga pasal kes mahkamah. Minta saya keluarkan Datuk Seri Gopal Sri Ram (dari kes beliau),” kata Ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Ekoran ketegasan beliau tidak mahu melayani permintaan itu, Muhyiddin mendakwa, ia menyebabkan beliau hilang sokongan daripada 15 Ahli Parlimen UMNO, sekali gus menyaksikan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi Perdana Menteri seterusnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Bahagian Mersing, di Felda Tenggaroh 3, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Datuk Dominic Lau; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Dr Latiff Ahmad; Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin dan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan.