MERSING, 17 Feb – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan masyarakat Felda tentang inisiatif kerajaan di bawah pimpinannya sewaktu pentadbiran PN, untuk melupuskan hutang peneroka Felda sebanyak RM8.3 bilion.

Muhyiddin, yang juga Presiden BERSATU berkata ini berikutan keluhan semua peneroka yang dibelenggu dengan masalah hutang yang tidak selesai memintanya agar memberi perhatian kepada isu terbabit.

“Hampir semua peneroka, saksi, berhadapan dengan hutang begitu banyak.

“Saya faham, lepas berpuluh tahun pokok nak tanam baru, pinjam. Sampai hampir RM8.3 bilion hutang peneroka di seluruh negara.

“Jadi saya tubuhkan jawatankuasa petugas dipimpin Tan Sri Wahid Omar.

“Dan mereka datang balik minta saya pertimbangkan, yang peneroka ini dibelenggu dengan masalah hutang tak selesai. Berapa jumlah? RM8.3 bilion, dan kita langsaikan,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Jentera Perikatan Nasional Bahagian Mersing, di Felda Tenggaroh 3, malam tadi.

Turut hadir, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia Datuk Dominic Lau; Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Dr Latiff Ahmad; Pesuruhjaya PAS Johor Abdullah Husin dan Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Atas sebab itu, Muhyiddin berkata, beliau berharap agar rakyat Johor, khususnya masyarakat Felda dapat memberi sokongan kepada calon-calon PN, bagi membolehkan mereka membentuk kerajaan yang lebih baik daripada pihak lawan.

Muhyiddin mengingatkan rakyat Johor bahawa Perikatan Nasional jauh lebih baik berbanding Barisan Nasional, khususnya dari segi integriti serta tegas dalam agenda antirasuah.

“Kalau PN bertanding, ini satu permulaan yang penting, jadi saya nak minta orang Johor fikir semasak-masaknya.

“Time for UMNO is over, sudah berlalu. UMNO tak perlu wujud di Johor.

“Walaupun Johor dahulu kubu kuat BN, kerana UMNO lahir di Istana Besar JB, tapi itu UMNO dulu. Sekarang dah koyak rabak.

“UMNO nampak okey, tapi macam macam barah di dalamnya. Salah guna kuasa, rasuah dan sebagainya.

“Sebab itu PN yang saya bina, dengan kerjasama Pas, Gerakan, ini platform politik jauh lebih baik.

“Kerana kita menentang salah guna kuasa. Calon-calon kita nanti kena angkat sumpah, untuk tidak akan menyalah guna kuasa serta mengamalkan rasuah,” tegasnya lagi.