KOTA TINGGI, 19 Feb – Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru rakyat ‘mengajar’ parti mendukung pemimpin yang telah memalukan Bangsa Melayu dan umat Islam kerana terlibat skandal rasuah serta penyalahgunaan kuasa.

Beliau berkata, parti tersebut juga perlu ditolak selepas rakyat tersilap memilihnya lebih 60 tahun sehingga menyebabkan antaranya, Wawasan 2020 lenyap begitu sahaja.

Justeru, Bangsa Johor menerusi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Mac ini diseru memilih sebuah parti yang benar-benar mampu memerintah dengan penuh berintegriti, ikhlas, jujur serta beristiqomah tanpa terpalit sebarang isu salah laku iaitu Perikatan Nasional.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional turut meminta Bangsa Johor menjadi ‘guru’ kepada negeri lain dalam berpolitik.

“Kerana rakyat Johor disusahkan (dengan tindakan Barisan Nasional membubarkan DUN tanpa alasan munasabah), kena ajar dia (BN). Pengundi Johor jadi guru kepada negeri lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Johor di Pasak di sini, malam tadi.

Menurutnya, PRN Sabah lalu adalah contoh terbaik untuk diteladani Bangsa Johor dalam memilih parti yang mampu mengemudi kerajaan negeri dengan baik.

“Orang Sabah dalam PRN Sabah boleh menang besar, orang Sabah boleh buat takkan orang Johor tak boleh buat.

“Kita harap jangan salah mengundi, 60 tahun kita salah mengundi, negeri kita hasilnya banyak, Wawasan 2020 hilang begitu sahaja,” katanya.

Majlis Pelancaran Perikatan Nasional di padang awam Taman Pasak Indah di sini, disempurnakan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turut hadir, Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Pengerusi STAR, Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan; Pengerusi SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee; dan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang turut menasihatkan Bangsa Johor tidak terpedaya dengan manifesto parti lawan yang hanya indah khabar daripada rupa.

Sebaliknya, Perikatan Nasional bukan parti yang hanya pandai berjanji tetapi parti yang menunaikan dan melaksanakan janji.