JOHOR BAHRU, 19 Feb – Gerakan tiada masalah untuk menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) ketika bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lou Hoe Chai berkata, bertanding di bawah satu logo membuktikan keutuhan dan kesepakatan antara parti komponen iaitu BERSATU dan PAS.

Katanya, ini adalah kali kedua Gerakan bertanding di bawah logo PN selepas PRN Melaka, November tahun lalu dan langkah itu menjadikan hubungan parti komponen lebih erat dan saling memahami cara kerja masing-masing.

“Kita tak sama dengan Pakatan Harapan (PH) apabila PKR ingin menggunakan logo parti mereka sendiri sedangkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah Pengerusi PH.

“Bagaimana pengerusi gabungan enggan menggunakan logo tersebut, ini menunjukkan parti itu hilang kepercayaan terhadap gabungan pembangkang tersebut. Sekiranya perkara semudah ini susah nak capai kata sepakat, macam mana hendak memimpin negara,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat Gerakan di Pejabat Gerakan di Taman Jaya, Skudai hari ini.

Yang turut hadir ialah, Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong dan Pengerusi Perhubungan Gerakan Negeri Johor, Senator Datuk Teo Kok Chee.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan PKR akan menggunakan logonya sendiri dalam PRN Johor, manakala dua sekutunya dalam PH iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menggunakan logo gabungan pembangkang itu.

Susulan keputusan itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan bersama memaklumkan, dua parti itu menghormati keputusan PKR untuk menggunakan logo sendiri, meskipun mempunyai perbezaan pendapat mengenainya.

Hoe Chai memberitahu, dalam mesyuarat itu bersetuju untuk melantik Kok Chee sebagai Pengerusi Jentera PRN Negeri Johor dan pejabat itu sebagai bilik parti Gerakan.

Tambahnya, semua pemimpin Gerakan di setiap negeri akan berkampung di negeri ini bagi membantu jentera PH berkempen dan memberi sokongan bagi memastikan kemenangan pada PRN Johor.