KOTA TINGGI, 19 Feb – Pengundi Johor khususnya masyarakat Islam diingatkan untuk lebih bertanggungjawab dalam memilih pemimpin dan parti politik yang akan mentadbir kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, gesaan itu dibuat kerana tugas memilih pemimpin akan turut dipertanggungjawab kepada setiap orang Islam.

Katanya, sehubungan itu amat penting buat rakyat memilih pemimpin dan parti politik yang bebas daripada salah guna kuasa.

“Saya mengingatkan orang Johor kerana di Johor ini banyak sekolah agama, mengaji al-Quran dan penduduk majoriti Islam jadi dalam memilih pemimpin, wakil rakyat, ketua yang mewakili kita adalah satu kewajipan besar dalam agama Islam dan tidak boleh dipandang ringan.

“Tetapi orang Islam sudah terlalu lama dijajah dan telah menjauhi agama sendiri, asas seperti solat, puasa, zakat dan haji mereka tahu, namun dalam soal memilih pemimpin mereka sambil lewa.

“Jadi saya berharap orang Johor akan memilih pemimpin yang berilmu, berakhlak dan berintegriti, walaupun dia mungkin tidak kaya tetapi dengan ilmu mereka boleh mentadbir dengan sejahtera,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional (PN) Johor yang diadakan di Padang Awam Taman Pasak Indah, di sini malam tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai serta barisan kepimpinan parti komponen PN lain.

Tambah Abdul Hadi, masyarakat Johor tidak perlu berasa bimbang untuk memberi kemenangan kepada PN kerana rakyat Sabah telah membuktikan perkara itu boleh dilaksanakan ketika PRN Sabah lalu.

“Saya minta pengundi Johor jadi guru kepada negeri-negeri lain dalam politik. Pada PRN Sabah lalu rakyatnya telah memilih dan memenangkan PN, jika orang Sabah boleh tak kan orang Johor tidak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar pengundi negeri ini tidak mengundi parti atau gabungan yang mempunyai sikap ekstremis kepada agama Islam dan masyarakat Melayu.

“Saya beritahu di sini, tidak perlu mengundi Pakatan Harapan (PH) kerana DAP itu satu parti yang ektremis, terang-terang mereka anti kepada Islam, Melayu dan institusi diraja.

“Sementara Amanah (Amanah) pula ditubuhkan dengan bantuan DAP untuk menarik sokongan Melayu, begitu juga Muda (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) yang ditubuhkan dengan agenda menarik golongan Melayu generasi muda manakala PKR pula adalah parti penipu,” tegasnya.