KUALA LUMPUR, 19 Feb – Penganjuran ceramah, syarahan atau kempen di Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dibenarkan dengan kehadiran tidak melebihi 100 orang.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang berkongsi Prosedur Operasi Standard (SOP) Pencegahan COVID-19 bagi pelaksanaan Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15 di saluran Telegram rasminya malam ini menyatakan, hanya individu lengkap divaksinasi dibenarkan hadir.

SOP yang disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu menyatakan, penganjur perlu mendapatkan permit daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala setiap aktiviti hanya dibenarkan selama dua jam dan tidak melebihi jam 10 malam.

“Penganjuran di premis terbuka atau tempat umum tidak dibenarkan.

“Sebarang bentuk hiburan ketika berkempen tidak dibenarkan manakala makanan yang disediakan hendaklah dalam bentuk ‘pack food’ (makanan berbungkus),” katanya.

SPR turut menetapkan penganjur, urus setia, penceramah dan peserta dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter di antara satu sama lain serta memakai pelitup muka.

“Penganjur perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan untuk menyemak bilangan kehadiran, status vaksinasi, saringan gejala seperti batuk, sakit tekak, selesema dan sesak nafas.

“Peserta bergejala tidak dibenarkan masuk dan semua yang hadir perlu mengimbas QR Kod MySejahtera atau mencatat kehadiran termasuk nama, nombor telefon, gejala dan masa, di dalam buku disediakan.

“Semua urus setia, penceramah dan peserta diwajibkan sentiasa memakai pelitup muka,” katanya.

SPR menetapkan SOP program merangkumi mengawal pintu masuk dan kehadiran peserta ke dalam pejabat parti atau bilik gerakan parti dengan hanya memastikan satu laluan untuk masuk dan satu laluan untuk keluar.

“Menyusun dan menanda kedudukan peserta di dalam ruang pejabat parti atau bilik gerakan parti yang digunakan untuk ceramah itu dengan memastikan penjarakan fizikal satu meter antara susunan tempat duduk,” katanya.