KUALA LUMPUR, 19 Feb – Semua calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor digalak menggunakan media sosial serta rangkaian televisyen untuk berkempen sepanjang tempoh dibenarkan.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi ketetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) PRN Johor yang dikeluarkan hari ini, berkata calon turut digalak menggunakan akhbar tempatan untuk mempromosikan kempen masing-masing.

“Mereka perlu mengaplikasikan penggunaan teknologi di dalam tempoh kempen selaras norma baharu yang perlu diamalkan rentetan pandemik COVID-19,” katanya.

SPR berkata, calon bertanding masih tertakluk kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) semasa berkempen dan sebarang bentuk kempen melalui media massa pada hari mengundi tidak dibenarkan.

Calon dibenarkan berkempen melalui kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara namun perlu mendapatkan permit pihak polis terlebih dahulu.

“Waktu, tempoh masa dan lokasi untuk berkempen adalah tertakluk kepada permit yang diluluskan oleh pihak polis itu.

“Kenderaan yang dipasang dengan alat pembesar suara tidak dibenarkan berhenti di sepanjang laluan ketika menyampaikan ceramah dan kenderaan digunakan tertakluk kepada akta dan peraturan pengangkutan jalan yang berkuat kuasa,” katanya.