KOTA TINGGI, 18 Feb – Rundingan kerusi membabitkan anggota Parti Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah selesai.

Pengerusi PN yang juga Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, gabungan parti melibatkan BERSATU, PAS dan GERAKAN itu juga sudah mempunyai senarai calon.

“Saya nak bagitahu pada hari ini, rundingan kerusi antara parti-parti Perikatan Nasional sudah selesai. Datuk (Seri) Takiyuddin (Hassan) wakil PAS dengan beberapa wakil daripada BERSATU selesai, dan GERAKAN ‘settled’.

“Jadi kita tak pernah gaduh pun, runding dalam masa seminggu pun dah selesai. 56 kerusi semua parti ada. Tak ada masalah. Senarai calon pun dah sedia dah,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perikatan Nasional Negeri Johor di Taman Pasak Indah, di sini malam tadi.

Selain itu, Muhyiddin memaklumkan senarai calon Perikatan Nasional akan dibawa kepada Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Jabatan Insolvensi Malaysia.

Ujarnya lagi, seperti dilakukan pada PRN Melaka, semua calon yang akan dipilih kelak perlu mengangkat sumpah Akujanji Anti-Rasuah dan tidak salahguna kuasa.

“Saya fikir ini penting, kerana kita nak melihat ada satu iltizam yang betul-betul bersungguh-sungguh. Bila mana kita telah diberikan amanah dan kuasa oleh rakyat, bagaimana kita nak mentadbir urus kuasa yang telah diamanahkan kepada kita mesti cara yang betul, yang telus.

“Ikut apa yang dikehendaki oleh agama dan jangan sesekali melakukan sesuatu perbuatan yang salah, bertentangan dengan undang-undang. Mencuri, merompak jauh sekali. Jangan ambil contoh orang di sebelah sana. Jangan ambil contoh ‘ Boss Awak’,” katanya.