KOTA TINGGI, 19 Feb – Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa UMNO adalah parti ‘kotor’ dan wajar ditinggalkan kerana mempunyai kumpulan ‘kluster mahkamah’ yang dianggap telah melakukan kemungkaran serta kesalahan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, justeru rakyat diminta tidak bersubahat dengan kumpulan sedemikian, sebaliknya bersama-sama melakukan ibadah dengan menyertai saf perjuangan baharu.

“Ini Tok Guru Hadi Awang (Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang) ada, apa ‘fatwa’ kalau meninggalkan UMNO dan menyertai PN? Harus, boleh jadi hukumnya sunat, mendapat pahala hijrah meninggalkan yang mungkar.

“Menyertai sesuatu yang menegakkan kebenaran dan yang ada di sini adalah satu amal, satu ibadah. Tinggalkan UMNO, tidak mengapa, tiada salah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran PN Peringkat Johor di padang awam Taman Pasak Indah, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Abdul Hadi dan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU mendakwa, ada pihak khususnya ‘orang lama’ yang berbelah bahagi untuk meninggalkan UMNO kerana mengingati jasa bekas Perdana Menteri kedua negara, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, termasuk membangunkan tanah FELDA.

“Itu waktu UMNO asal. Selepas UMNO diharamkan pada 1988, ia adalah UMNO baharu. Tidak sama UMNO baharu dengan UMNO asal. UMNO baharu dilahirkan di Kuala Lumpur, UMNO asal dilahirkan di Istana Besar Johor Bahru,” katanya.

Muhyiddin berkata, ada sebilangan pihak yang bersetuju dengan pendapatnya tetapi masih ragu-ragu untuk meninggalkan UMNO.

Sehubungan itu, katanya, pihak berkenaan perlu melihat sejarah apabila ramai pemimpin utama UMNO sudah keluar parti berkenaan.

Malah, beliau berkata, ramai pemimpin terdahulu juga meninggalkan UMNO.

“Almarhum Tunku Abdul Rahman (bekas Perdana Menteri pertama negara), UMNO. Namun ketika meninggal dunia, Almarhum bukan UMNO.

“Almarhum Tun Hussein Onn pula (bekas Perdana Menteri ketiga negara), selepas penganjuran Perhimpunan Melayu Johor, saya menjemput dan mempelawa Almarhum untuk balik semula kepada UMNO. Almarhum kata sudah tidak mahu. Sehingga meninggal dunia, Almarhum tidak dalam UMNO.

“Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) masih hidup lagi sudah keluar UMNO,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu sekali gus memberi jaminan bahawa gabungan parti dalam PN adalah bersih, dan mempelawa rakyat menyertainya.

Sementara itu, Muhyiddin turut memberi bayangan mahu ‘membocorkan’ maklumat kedudukan kewangan negara ketika ini yang didakwa tidak sebagaimana digambarkan.

Malah, beliau mempersoalkan sejauh mana kerajaan kini mampu terus bertahan untuk menampung pelbagai bayaran dan kos.