KULAI, 20 Feb – Menjelang PRN Johor, bekas pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman mengingatkan agar Umno-BN tidak terlalu yakin dalam mengekalkan sokongan daripada warga Felda yang dianggap sebagai “simpanan tetap”.

Ini kerana, katanya, pentadbiran Perikatan Nasional (PN) sebelum ini yang diterajui perdana menteri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menunjukkan “tekad politik” dalam membantu warga Felda.

“Tidak dapat disangkal, Muhyiddin selaku perdana menteri, mengambil langkah proaktif dalam membawa perubahan di Felda.

“Pengambilalihan semula/pegangan lebih 80 peratus kepentingan di FGV, pelupusan 80 peratus hutang peneroka dan pelaksanaan Program Pembangunan Peneroka (PPP) antara kejayaan yang dilihat peneroka.

“Meskipun isu-isu besar tersebut belum selesai sepenuhnya, namun ‘political will’ dari kerajaan yang memerintah dirasai oleh warga Felda,” kata kata Mazlan dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataannya turut dikongsi Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan di Facebook, yang berkata dia baru sahaja bertemu dengan Mazlan untuk sarapan pagi hari ini.

Dalam kenyataan itu, Mazlan menyatakan bahawa pengundi Felda membentuk pangkalan pengundi yang ketara dalam PRN Johor kerana Johor mempunyai penempatan Felda kedua terbesar di Malaysia, selepas Pahang.

Walaupun peneroka Felda secara tradisinya menyokong Umno-BN, Mazlan berkata ini berubah semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018, yang menyaksikan 19 kerusi parlimen di kawasan Felda bertukar tangan kepada Pakatan Harapan (PH) dan PAS.

Bagaimanapun, bekas ahli jawatankuasa pusat Amanah itu mengakui reformasi Felda berjalan perlahan semasa PH memerintah, menyebabkan kekecewaan berleluasa di kalangan peneroka.

“Kertas Putih Felda yang dibentang pada 10 april 2019 meskipun ia usaha yang amat baik dari kerajaan PH, tapi dianggap begitu lewat sedangkan, ‘damage has been done’,” kata Mazlan.

Justeru, katanya, PRN Johor akan datang akan menjadi pengukur sebenar siapa pengundi Felda akan sokong.

“Adakah pengundi Felda yang terdiri dari peneroka dan Generasi Felda sekitar 180 ribu, kembali sebagai simpanan tetap BN?

“Sama samalah kita tunggu tanggal 12 Mac nanti,” kata Mazlan.