KULAI, 21 Feb – Pengundi Johor diminta menolak gelombang kebangkitan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang didalangi individu rasuah dan salah guna kuasa dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan pada 12 Mac ini.

Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana pihak berkenaan mahu menggunakan demokrasi untuk melindungi individu-individu terbabit.

“Ini adalah pilihan raya yang dipaksa UMNO dan BN ke atas Bangsa Johor, ini bukan dikehendaki orang Johor. PRN ini diadakan kerana ada pemimpin UMNO yang terdesak, kalau tidak ada kuasa yang boleh disalahgunakan, ada pemimpin mereka yang akan masuk penjara.

“Disebabkan ketakutan itu mereka tidak ada pilihan dan gunakan pilihan raya serta gelombang penyokong mereka. Jadi adalah tanggungjawab kita untuk menolak gelombang yang cuba diwujudkan ini,” katanya ketika berucap dalam program Jelajah Penerangan Isu Semasa di Felda Taib Andak malam tadi.

Menurut beliau, UMNO dan BN ketika ini memilih berdiam diri kerana pelbagai su ditimbulkan Bersatu dan Perikatan Nasional (BN) tidak mampu dijawab sebaliknya cuba mencari isu remeh sebagai modal politik.

“UMNO tidak dapat menjawab isu berkaitan kepincangan dan kerosakan Felda semasa di bawah pemerintahan BN, begitu juga kes-kes rasuah yang sedang dihadapi pemimpin tertinggi mereka.

“Sebaliknya, mereka mainkan isu Tan Sri Muhyiddin Yassin mengejek nama dan maruah bapa Presiden UMNO, sedangkan gelaran ‘Zahid Komedi’ itu merujuk kepada perangai Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Ada pemimpin UMNO yang mempunyai berpuluh kes mahkamah masih mampu berdiri depan orang ramai, tak malu ke, ini perangai badut. Kalau nak jaga maruah ibu bapa dan keluarga, kita kena fikir banyak kali sebelum songlap duit rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, individu berkenaan ‘belajar’ daripada bekas ketuanya yang tidak lagi mempunyai rasa malu selepas dituduh mahkamah kerana melakukan rasuah.

“Saya tak tahu bagaimana boleh wujud manusia seperti ini di muka bumi ini. Dia ajar rakyat, ajar masyarakat supaya berpegang kepada tidak perlu malu apa. Malu ini sebahagian daripada iman. Tiada perasaan malu maka tiada iman.

“Apa yang dia nak ajar kepada rakyat. Apa yang lebih pelik ada macai-macai dia menyokong. Malu apa bosku. Anak muda kena fikir adakah kita nak didik keluarga, membesar dengan didikan bahawa tiada perasaan malu, tiada masalah. Ini kita kena fikir secara serius,” soalnya.

Menurutnya lagi, disebabkan ketandusan isu UMNO memainkan isu Bersatu memecahbelahkan orang Melayu sedangkan apabila Bersatu mahu menyertai Muafakat Nasional (MN) untuk kesatuan Melayu, UMNO tidak ‘merestuinya’.