PARIT SULONG, 22 Feb – UMNO terbukti gagal dan ketandusan isu apabila membuat laporan polis terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, apabila Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) itu meminta laporan fiskal daripada Menteri Kewangan.

Ketua Bahagian BERSATU Parit Sulong, Datuk Ariss Samsudin berkata, Muhyiddin selaku peneraju MPN iaitu badan yang menasihati kerajaan berhubung strategi pemulihan ekonomi selepas COVID-19, mesti tahu semua perkara termasuk status kewangan negara supaya Majlis boleh menasihati Perdana Menteri atau info diguna untuk merangka pelan adalah sahih dan tepat.

“Selaku Pengerusi MPN, beliau sudah tentu perlu ada maklumat kewangan negara untuk merangka tindakan memulihkan ekonomi negara atau menasihati kerajaan. Jadi di mana salahnya?

“Sebaliknya, kami melihat Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Parit Sulong sebenarnya cuba memesong perhatian atau menutup kemarahan penduduk setempat kepada Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad, kerana menganjurkan Karnival KPT Keluarga Malaysia di Dewan Seri Mahkota, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat pada 17 hingga 19 Februari lalu.

“Penduduk khususnya di Parlimen Parit Sulong dan ibu bapa pelajar MRSM Batu Pahat yang datang dari seluruh negara betul-betul tidak berpuas hati dan berang dengan Noraini kerana membawa karnival masuk ke maktab itu ketika mana kes harian COVID-19 semakin meningkat di Batu Pahat.

“Tindakan Menteri Pengajian Tinggi itu membawa risiko kepada keselamatan kesihatan pelajar dan guru di MRSM tersebut. Keadaan lebih serius apabil mereka sedang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekarang. Andai berlaku jangkitan COVID-19 di asrama maktab itu, Noraini mesti bertanggungjawab,” katanya.

Ariss turut mencabar Noraini mendedahkan berapa wang dibelanjakan untuk persiapan logistik bagi menganjurkan karnival yang hanya berlangsung dua hari itu.

“Berapa banyak pula duit digunakan untuk membayar elaun, penginapa atau tuntutan lain oleh pegawai IPT dan kementerian yang dikerah hadir?

“Tetapi apa yang penduduk dan pengundi Parit Sulong dapat? Mereka mungkin membawa pulang COVID-19 kepada keluarga.

“Pemuda UMNO sepatutnya membantah karnival tersebut sebab maklumat pada zaman sekarang boleh diperolehi di hujung jari tanpa payah-payah mengadakan karnival. Ini sudah tentu tidak ada apa-apa risiko kepada pihak yang hendak mencari maklumat.

“Ternyata rasional pemikiran Pemuda UMNO Parit Sulong tidak terjangkau ke tahap ini tetapi sekadar menurut perintah atau beremosi secara melulu,” katanya.

Sayap pergerakan itu dalam satu kenyataan kelmarin menyebut, pihaknya membuat laporan polis terhadap tindakan Muhyiddin yang dikatakan menjurus kepada ketidakpatuhan yang tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972. – Info Johor