BANGI, 22 Feb – Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak dinasihatkan agar berhenti daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang tersasar berhubung pencapaian kerajaan terdahulu.

Teguran itu dibuat oleh Ahli Parlimen BERSATU Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman yang melihat Ahli Parlimen Pekan itu cuba membandingkan pencapaian dua kerajaan yang pernah mentadbir negara sebelum ini iaitu Perikatan Nasional PN dan Pakatan Harapan (PH), namun, ia tidak betul.

“Saya harap Datuk Seri Najib ini berhentilah daripada mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang macam ini, yang jauh tersasar.

“Kalau kita bandingkan daripada apa yang berlaku di zaman PN dan semasa PH dahulu pun termasuk di masa BN (Barisan Nasional) apa yang dikatakan oleh Datuk Seri Najib ini dah jauh tersasar.

“Pembangunan ekonomi kalau kita tengok, pelaburan luar ada peningkatan yang cukup ketara sebagai mana yang dilaporkan oleh Menteri Kanan MITI.

“Yang kedua kalau kita tengok dari segi pelaburan domestik negara sendiri diperingkat ini keprihatinan kerajaan (PN) kepada masyarakat jauh berbeza dari zaman PH dulu….pelbagai perkara baik dibuat untuk golongan B40 ataupun pertengahan dan juga dari perkembangan ekonomi keseluruhan pun banyak insentif,” katanya mengulas kenyataan Najib seperti dilapor laman portal BN Online, hari ini.

Menerusi laporan itu Najib yang juga Penasihat BN membidas pengurusan ekonomi PH dan PN apabila berlaku penjualan banyak aset negara untuk melangsaikan hutang dengan menyifatkan ia sebagai gali lubang, tutup lubang.

Mengulas lanjut, Mansor berkata, program prihatin yang dilaksanakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menjadi Perdana Menteri dengan perbelanjaan berbilion ringgit kesemuanya adalah untuk kebajikan rakyat.

“Jadi, saya tak nampak sangat kewajaran Datuk Seri Najib mengeluarkan kenyataan dasar yang kita laksanakan itu tersasar…saya tak nampak kewajarannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mansor berkata, beliau tahu Najib membuat kenyataan seperti itu bagi mengambil kesempatan sempena Pilihan Raya Negeri di Johor.

“Tapi rakyat bukan macam dulu, rakyat dah cerdik dan dapat membezakan yang mana baik dan tidak baik,” tambahnya.