KUALA LUMPUR, 22 Feb – Kementerian Luar hari ini melaksanakan misi bantuan kemanusiaan Malaysia ke Afghanistan melibatkan kerjasama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.

Menurut Wisma Putra, Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menyempurnakan penghantaran itu dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, Selangor dekat sini.

“Misi ini mendapat kerjasama Golden Horses Digital Investment Bank serta Global Peace Mission (GPM) dan Buddha Light International Association,” kata kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Ia melibatkan bantuan kemanusiaan seberat lima tan meliputi pakaian musim sejuk, jaket, selimut dan susu tepung serta keperluan asas yang lain untuk warga rentan Afghanistan sendiri.

Penerbangan khas ini jelas Wisma Putra, akan singgah melalui Hyderabad, India dan Islamabad, Pakistan sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi akhir di Kabul, Afghanistan.

Pelaksanaan misi itu susulan krisis kemanusiaan meruncing di negara Asia Tengah tersebut ekoran pembekuan rizab Afghanistan susulan ditawan semula Taliban pada 15 Ogos 2021.

GPM ujar kenyataan Wisma Putra, akan mengedarkan bantuan tersebut kepada golongan wanita dan kanak-kanak Afghanistan dengan kerjasama pelbagai NGO tempatan negara itu.

Ia melibatkan kerjasama Ehsas Welfare & Social Service Organisation, Humanitarian Assistance Society, Afghan Welfare Society dan Just for Afghan Capacity and Knowledge.

“NGO Malaysia sentiasa aktif dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat baik di dalam dan luar negara selain menjalankan misi bantuan kemanusiaan,” kata Wisma Putra lagi.

Antara yang sudah memasuki Afghanistan ialah GPM, Muslim Volunteer Malaysia, Muslim Care Malaysia, Mercy Malaysia dan Pertubuhan Ikatan Kekeluargaan Rumpun Nusantara.

Pusat Penyelidikan Polisi Ekonomi Malaysia jelas Wisma Putra, bersedia menghulurkan bantuan terutama penubuhan sistem perbankan dan kewangan yang berdasarkan Syariah.

Pihak swasta, korporat dan institusi di Malaysia bersedia menawarkan kepakaran mereka dalam membantu membina semula Afghanistan termasuk pembangunan prasarananya.

Misi ini turut menyerlahkan semangat Keluarga Malaysia dan mempamerkan solidariti rakyat dengan warga Afghanistan bertepatan dengan budaya prihatin masyarakat yang majmuk.

“Malaysia akan meneruskan usaha libat urus yang membina di samping pembangunan modal insan kepada penduduk Afghanistan daripada dilanda kesengsaraan ketika ini,” tambahnya.