PASIR PUTEH, 22 Feb – BERSATU Kelantan dan PAS Kelantan akan membentuk jentera bersama bagi membantu Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Badan Perhubungan Negeri BERSATU Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, pertemuan dengan Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yakob akan dibuat untuk menyelaraskan jentera tersebut.

“Di Kelantan hubungan kesemua 14 bahagian telah mantap dan akrab, sama ada di peringkat kepimpinan mahupun ahli akar umbi melalui pelaksanaan program cakna rakyat secara bersama.

“Gerakan yang sama kita perlu lakukan bagi menghadapi PRN Johor bagi membantu PN memenangi pilihan raya itu,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan penghulu kawasan Semerak, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim serta barisan pemimpin kanan setiap sayap kedua-dua parti iaitu BERSATU dan PAS di peringkat Parlimen Pasir Puteh.

Menurut Kamarudin, setakat ini pihaknya memilih seramai 168 ahli daripada 14 bahagian BERSATU Kelantan yang memiliki pelbagai kebolehan untuk membantu PN berkempen dalam PRN Johor.

“PRN Johor merupakan satu lagi ‘batu tanda’ bagi mengukur sejauh mana keberkesanan hubungan kedua-dua parti. Mudah-mudahan hasilnya akan menjadi lebih baik berbanding dalam PRN Melaka,” katanya.