LEDANG, 22 Feb: Golongan pengundi baharu yang melibatkan pendaftaran automatik dan Undi 18 di seluruh Johor memihak kepada Perikatan Nasional sekali gus mengundi calon parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Ketua Penerangan Perikatan Nasional Johor, Mohd Solihan Badri berkata, selain penyokong dan ahli parti sedia ada, parti kini meraih sokongan daripada golongan tersebut kerana mereka bosan dengan tingkah laku dan sifat negatif pemimpin parti politik lain termasuk UMNO.

Menurutnya, sokongan itu dikesan dan direkodkan menerusi beberapa proses yang dijalankan secara khusus sempena PRN Johor selain penyerahan permohonan keahlian yang diterima di kediaman ketua cawangan serta di semua Pejabat Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Saya diberitahu, sebahagian besar pengundi baharu akan menolak Barisan Nasional dan menyebelahi kami. Mereka dah bosan dengan UMNO yang pemimpinnya terpalit dengan pelbagai kes yang meruntuhkan bukan sahaja sistem ekonomi negara, imej kita bahkan moral kita,” katanya pada ceramah Siri 10 Jelajah Penerangan Isu Semasa Negeri Johor di DUN Bukit Gambir di sini.

Parlimen Ledang mempunyai 104,800 pengundi dan merangkumi DUN Gambir dengan 15 Pusat Daerah Mengundi (PDM), DUN Tangkak (13 PDM) serta DUN Serom (21 PDM).

Sehubungan itu, Mohd Solihan meyeru semua ahli dan barisan kepemimpinan partI BERSATU, PAS dan Gerakan memainkan peranan supaya membawa golongan pengundi baharu itu keluar mengundi pada 12 Mac nanti.

“Kami turut mendapati jentera PAS dan Gerakan sangat teruja untuk menghadapi PRN Johor ini. Walaupun hakikatnya, kita semua dipaksa supaya menyertai PRN ini, namun kita sudah bersiap sedia untuk bekerja.

“Kami akan pasti dapat mengalahkan (calon lawan) di DUN Gambir, DUN Serom dan DUN Tangkak dan kami akan mengambil pentadbiran kerajaan Negeri Johor,” katanya. – InfoJohor