PUTRAJAYA, 22 Feb – Senarai calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor daripada Perikatan Nasional (PN) akan diumumkan Khamis ini.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pada masa ini, senarai nama tersebut dalam proses saringan.

“Sudah selesai antara parti-parti dalam PN (pembahagian kerusi), malah, nama calon sudah dikemukakan.

“Kita dalam peringkat akhir vetting (saringan) dan akan umumkan pada Khamis ini. Itu akan dibuat secara rasmi di Johor,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang turut ditayangkan secara maya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini berkenaan pembahagian kerusi antara komponen dalam PN iaitu melibatkan BERSATU, Pas dan Gerakan.

Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, pihaknya telah memuktamadkan agihan kerusi antara parti-parti komponen gabungan itu yang akan bertanding pada PRN Johor.

Muhyiddin dipetik berkata, ia diselesaikan tanpa melibatkan sebarang pergaduhan atau perselisihan faham antara parti terlibat dengan rundingan agihan melibatkan kesemua 56 kerusi.