ISKANDAR PUTERI, 23 Feb – Perikatan Nasional (PN) meletakkan anak tempatan sebagai keutamaan untuk menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Setiausaha PN Johor, Datuk Dr. Sahrudin Jamal berkata, hanya mereka yang benar-benar boleh berkhidmat kepada masyarakat disenarai pendek sebelum dimuktamadkan sepenuhnya menjelang pengumuman esok.

Bekas Menteri Besar itu berkata, PN juga bersedia membariskan calon yang hampir seimbang antara mereka yang berpengalaman, golongan muda dan wanita.

“Kami di PN ada gabungan anak muda, orang berpengalaman dan kita ingin pastikan setiap calon PN merupakan anak tempatan dan mereka yang betul-betul boleh berkhidmat kepada masyarakat.

“Berapa peratus muka baharu pula hanya akan diketahui pada majlis pengumuman calon oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok petang,” katanya pada majlis ramah mesra bersama media di sini, malam tadi.

Dr. Sahrudin berkata, gabungan yang dibentuk antara BERSATU, PAS dan Gerakan itu turut yakin boleh menang dan membentuk kerajaan negeri.

“Apatah lagi kami pernah memerintah, kami ada bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Besar. Dengan pengalaman yang ada kita yakin dapat mentadbir Johor dan seterusnya Malaysia dengan lebih baik, sempurna, integriti, amanah dan jujur,” katanya.