ISKANDAR PUTERI, 23 Feb – Kira-kira 50 pengamal media diraikan dalam Majlis Ramah Mesra Bersama Setiausaha Perikatan Nasional Negeri Johor, di sini, semalam.

Penganjuran majlis tersebut menterjemahkan manifestasi pengiktirafan dan penghargaan Perikatan Nasional di Johor terhadap sumbangan diberikan oleh kumpulan tersebut.

Setiausaha Perikatan Nasional Johor, Dato’ Dr Sahruddin Jamal menitipkan doa kepada Allah SWT agar mempermudahkan segala urusan dan memberikan perlindungan ke atas pengamal media, sepanjang PRN Johor.

“Keutamaan wajar diberikan kepada soal keselamatan diri, daripada ancaman wabak COVID-19 yang masih lagi belum berakhir di negara kita.

“Sentiasalah berwaspada ketika bertugas,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.

Turut hadir, Naib Pengerusi Perikatan Nasional Negeri Johor, Senator Ir Md Nasir Hashim.

Selain itu, Sahruddin berharap pengamal media dapat memainkan peranan dan tanggungjawab masing-masing dengan melaporkan berita yang tepat, berimbang dan jelas.

Katanya, ledakan teknologi maklumat pada masa kini, menyaksikan siaran sesuatu berita atau sebaran maklumat menjadi begitu pantas dan meluas.

“Ada di antara isi kandungan yang tersasar, bahkan berniat menyemai kebencian apatah lagi berunsur prejudis, serta stereotaip terhadap seseorang mahupun pihak tertentu.

“Maka di sinilah, pentingnya peranan media untuk melaporkan dan menjustifikasikan kebenaran seterusnya meletakkan martabat profesion kewartawanan ke tahap tertinggi serta mulia,” katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pengamal media.

“Semoga tautan ukhwah sedia terbentuk terus berkekalan sampai bila-bila. Insya Allah, jika diizinkan untuk membentuk Kerajaan, Perikatan Nasional tetap teguh bersama dengan sahabat-sahabat pengamal media.

“Selamat menunaikan tanggungjawab memandangkan pengamal media merupakan kelompok yang akan mengundi secara pos, dan selamat bertugas pada pilihan raya kali ini,” katanya.