JOHOR BAHRU, 24 Feb – Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan calon-calon gabungan parti itu yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sudah melalui semakan pihak berkuasa.

Beliau berkata, semakan dan saringan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi.

“Mereka ini semua sudah disaring dihantar pada PDRM jangan ada elemen mahkamah pada PRN Johor kali ini.

“Kita hantar pada SPRM jangan ada kes rasuah. Kita hantar Jabatan Insolvensi untuk lihat (status) kebankrapan, di samping parti juga melakukan saringan,” katanya dalam ucapan Majlis Memperkenalkan Calon, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengelakkan sebarang ketidakpuasan dalam kalangan ahli PN sekiranya tidak dicalonkan dalam PRN kali ini.

Muhyiddin turut mengharapkan semua ahli PN untuk terus istiqomah bekerja keras bagi menentukan kemenangan calon PN.