SAYA orang Johor dan kita bangga Johor mempunyai sejarah yang panjang termasuk dikaitkan dengan permodenan Malaysia. Banyak sejarah dicipta di negeri ini sehingga menjadi contoh teladan kepada negeri-negeri lain.

Saya hendak sampaikan satu mesej penting untuk rakyat Johor khususnya pemilih atau pengundi di Johor. Hari ini sudah lahir satu perjuangan yang pastinya akan menjamin kelangsungan hidup rakyat Johor yang lebih baik lagi iaitu menerusi Perikatan Nasional.

Saya ingin jelaskan kenapa Perikatan Nasional dilahirkan dan dibentuk – untuk kita membentuk suatu hubungan kerjasama politik yang lebih kukuh dan mantap bagi menjayakan aspirasi negara termasuk aspirasi rakyat Johor.

Johor mempunyai banyak khazanah dan kekayaan. Tetapi setakat itu sahaja tidak mencukupi kerana kita melihat sekarang bukan sahaja Johor atau negara tetapi rantau di sekeliling kita hari sudah mencipta satu tahap pembangunan dan kemajuan agak luar biasa. Bukan sahaja Singapura malahan Vietnam dan Indonesia sudah mula ke hadapan dengan langkah lebih sederap dan berani.

Presiden Jokowi hari ini dengan megah dan bangga menyatakan Indonesia akan menjadi sebuah kuasa besar di Asia Tenggara. Sebab itu, saya ingin membicarakan bagaimana hendak membangunkan Johor dan tawaran Perikatan Nasional kepada rakyat Johor iaitu satu masa depan yang lebih baik, lebih terjamin dan yang bersih menerusi pentadbiran kerajaan, insya Allah akan terbentuk selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini.

Kita tawarakn kerajaan yang berpegang teguh kepada suatu prinsip iaitu mempertahankan Perlembagaan Negeri dan Perlembagaan Persekutuan. Kita hendak tawarkan kerajaan diurus dengan tadbir urus yang terbaik.

Kita hendak menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa Johor akan mengepalai satu gerakan pembaharuan yang luar biasa berteraskan kepada nilai-nilai yang baik, sistem nilai, etika serta akhlak dan moral yang tinggi.

Saya menyebutkan perkara ini kerana Perikatan Nasional bukan satu gabungan parti biasa tapi gabungan parti luar biasa yang mempunyai cita-cita dan azam besar. Ia bukan setakat mahu membawa Johor lebih maju ke hadapan bahkan hendak membangunkan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih berjaya bila mana sampai ketikanya Perikatan Nasional dipilih menjadi Kerajaan Persekutuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti.

Kita akan bawa suatu yang lebih daripada biasa. Kita bawa kerajaan yang telus, menolak segala bentuk salah guna kuasa dan rasuah. Saya tidak takut menyatakan ini kerana kita adalah pejuang yang menolak segala bentuk salah guna kuasa dan rasuah. Ini sudah menjadi teras dan asas yang kita sebutkan berulang kali supaya orang Johor tahu di mana kedudukan Perikatan Nasional dan apa yang kita perjuangkan.

Apa sahaja yang dilakukan dalam transfromasi ini, kita akan meletakkan yang paling utama adalah kebajikan dan keprihatinan terhadap nasib rakyat Johor tidak kira Melayu, Cina, India, Orang Asli atau siapa sahaja Bangsa Johor. Kita akan bela mereka dengan cara yang terbaik, Ini komitmen kita!

Barisan Nasional (BN) mungkin sudah membuat yang baik selama 60 tahun mereka memerintah, tetapi itu bukan yang terbaik. Saya pernah menjadi Menteri Besar Johor dan saya tahu apa yang rakyat Johor mahu.

Ketika COVID-19, Johor menjadi negeri yang paling terkesan. Jadi bagaimana hendak mengurus masa depan yang bukan dalam situasi yang biasa? Kita kini berada dalam keadaan yang luar biasa.

Kalau setakat kekuatan kepemimpinan terdahulu di bawah pimpinan BN, itu tidak mencukupi. Apatah lagi mereka sudah kemaruk kuasa dan penuh kepincangan. Wang ringgit rakyat sudah dikeroyok dan dikorbankan. Dengan kes-kes rasuah yang sampai sekarang ini tidak selesai dibicarakan di mahkamah.

Apakah rakyat Johor nak harapkan pada puak-puak sebegini sama ada kluster atau bukan kluster mahkamah ini?

Kalau setakat hendak mengurus seperti biasa, tidak menjadi masalah. Tetapi masa sekarang bukan masa yang sama dan bukan dalam situasi atau keadaan yang biasa, bukan sahaja di Johor malah di seluruh negara. Kita hendak memulihkan negara yang sudah dirosakkan.

Itu belum soal bagaiamana pula kedudukan kewangan negara. Berapa lama lagi kita boleh bertahan? Sebanyak mana hasil negara yang dikutip untuk tampung pembayaran gaji dan pembangunan malah bayaran pencen yang banyak.

Kalau di peringkat nasional bermasalah sebegitu, tetapi mereka kata demi kestabilan kononnya kita kena sokong barisan kepemimpinan BN maka Nauzubillah minzalik… saya tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan.

Jadi hikmah di sebalik PRN Johor, ini adalah peluang terbaik jika diizinkan Allah SWT; untuk kita mentadbir Johor. Dengan perancangan yang tersusun, kita bukan setakat merancang apa orang Johor hendak hari ini malah masa-masa ke hadapan. Perancangan 10 tahun ini kita akan dilaksanakan menerusi sebuah kerajaan negeri baharu selepas PRN Johor ini.

Yang hendak kita lihat ke hadapan ini adalah satu tindakan yang dinamakan ‘reset’ atau bentuk semula kerana apa yang ada sekarang sudah lari dari bentuk atau sasaran awal. Kebobrokan yang dilakukan Kerajaan BN yang sekian lama mentadbir, perlu diperbaiki dan diperbetulkan.

Jadi inilah ketikanya saya mengajak rakyat Johor untuk menyokong Perikatan Nasional dan tinggalkan BN. Lagipun zaman UMNO dan BN sudah berlalu.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Pengerusi Perikatan Nasional

(Sari pati ucapan beliau ketika pelancaran Perikatan Nasional Johor di Pasak dekat Kota Tinggi, Johor pada 18 Februari 2022 lalu).