TANGKAK, 24 Feb – Perikatan Nasional (PN) akan mengetengahkan manifesto bersifat realistik antaranya menumpukan isu kos sara hidup rakyat dan kenaikan harga barang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PN akan turut memberi penekanan terhadap isu pendidikan berkualiti selain mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat.

“Kami kalau dah bentuk kerajaan, kami janji akan laksana dan tunaikan.

“Contohnya isu perumahan dalam kalangan generasi kedua Felda, bila kita diberi peluang mentadbir Johor, antara yang kita akan beri perhatian adalah sediakan peluang perumahan untuk kumpulan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ceramah umum bersama warga Felda Sri Ledang, malam tadi.

Turut hadir Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Ketua Penerangan PAS Pusat, Senator Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin.

Penamaan calon PRN Johor akan berlangsung Sabtu ini manakala hari pengundian ditetapkan pada 12 Mac dan undi awal pada 8 Mac.