JOHOR BAHRU, 24 Feb – Calon-calon BERSATU mengetuai senarai calon-calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, BERSATU mengetengahkan 33 calon manakala PAS (15) dan lapan daripada Parti Gerakan.

Kata beliau lagi, PN mengetengahkan 41 muka baharu manakala baki 15 calon merupakan individu yang bertanding ketika pilihan raya sebelum ini.

“Mereka datang dari pelbagai profesion ramai usahawan ada juga bekas guru, doktor pergigian, doktor perubatan, peguam, pensyarah dan peserta.

“Secara keseluruhan saya anggap ini satu pasukan kuat yang ada pengalaman, ada kelayakan, jadi tidak sukar untuk bentuk kerajaan sekiranya dipilih,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Calon PRN Johor.

Pada majlis itu, Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan bekas Setiausaha Akhbar Menteri, Zulkifli Bujang merupakan antara 56 calon PN.

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut memaklumkan kesemua calon dijangka mengangkat sumpah aku janji dalam masa terdekat.

Beliau berkata, perkara itu bagi mengelakkan mereka salah guna kuasa dan melakukan oengelewengan rasuah.

“Kita nak tunjuk pada rakyat Johor yang kita menentang rasuah apabila mereka ini terikat dengan aku janji,” ujarnya.