MUAR, 25 Feb – Calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir, Mohd Solihan Badri bertekad untuk tidak menghampakan rakyat di kawasan yang ditandinginya itu.

Beliau juga memberitahu untuk menambah baik perkhidmatannya jika dipilih mewakili DUN tersebut dengan melakukan perubahan meliputi pembangunan setempat, ekonomi dan sosial.

“Ini sudah menjadi tanggungjawab kita bagi memenuhi hasrat rakyat untuk mencapai perubahan yang baik.

“Jadi saya rasa di mana kita bertanding, ia adalah satu cabaran untuk bekerja keras untuk memastikan rakyat Gambir tidak hampa dengan calon yang akan datang,” katanya kepada media selepas Ceramah Umum di Padang Komuniti Bukit Mor, pada Khamis.

Turut hadir, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Bahagian BERSATU Muar, Basut Nin dan Ketua Penerangan PAS Johor, Rusman Kemin.

Mengulas lanjut, Mohd Solihan berharap pengundi DUN Gambir dapat memberi sokongan kepadanya untuk meneruskan khidmat di kawasan berkenaan.

“Saya adalah Ketua Bahagian di Ledang dan pengundi menerima selama perkhidmatan saya sebelum ini di DUN Tenang.

“Ini boleh jadi testimoni bagi perkhidmatan yang akan diteruskan di DUN Gambir,” kata Mohd Solihan

Sebelum ini, DUN Gambir dimenangi oleh Muhyiddin dengan jumlah undi sebanyak 3,088 dan mengalahkan Barisan Nasional serta Pas.

Pada masa sama, Mohd Solihan juga telah memenangi kawasan DUN Tenang dengan majoriti 1,070 undi.