JOHOR BAHRU, 26 Feb – Lapan calon Parti Gerakan Malaysia (Gerakan) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor menandatangani akuan bersumpah (SD) menyatakan kesetiaannya kepada parti dan Perikatan Nasional (PN).

Calon yang menandatangani SD ialah Tan Kok Hong yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bentayan, Yong Fui Ling (Yong Peng), Loh Kah Yong (Puteri Wangsa) dan Datuk Dr Ker Ching Sheng (Johor Jaya).

Turut menandatangani SD tersebut Yap Chiang Youis (Stulang), Koo Shiaw Lee (Perling), Tan Heng Choon (Bukit Batu) dan Datuk Tan Chin Hock (Pekan Nanas).

Menerusi SD tersebut, kesemua calon berjanji akan kekal setia dan tidak akan mengkhianati Gerakan sekiranya menang dan terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lou Hoe Chai berkata, SD berkenaan bertujuan meyakinkan kepimpinan tertinggi PN bahawa tidak ada calon mereka akan membelot sekiranya menang kerusi yang ditandingi.

“Pendirian kita jelas bahawa kita tak mahu bakal Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen kita akan lompat parti.

“Walaupun kita yakin sepenuhnya tidak akan ada dalam kalangan mereka yang lompat parti tetapi ini adalah prosedur yang perlu dilalui untuk mengelakkan perkara tak diingini berlaku di masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani SD di Ibu Pejabat Gerakan Johor di sini pada Jumaat.

Dalam majlis yang sama, Hoe Chai turut menyampaikan watikah pelantikan calon kepada kesemua calon parti Gerakan.

Hoe Chai berkata, sekiranya ada di antara mereka melompat parti selepas menang, mereka perlu mengosongkan kerusi yang ditandingi atas tiket Gerakan dan PN.

“Sekiranya calon memilih untuk menyertai parti politik yang lain, mengisytiharkan diri sebagai bebas, dipecat atau diberhentikan sebagai ahli parti Gerakan, maka jawatan sebagai ADUN akan diisytihar kosong seperti telah meletak jawatan sebagai ADUN secara sukarela.

“Calon turut menandatangani surat peletakan jawatan yang akan dikemukakan kepada Speaker DUN Johor dan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar jika pecah ikrar kesetiaan ini,” katanya.

Tambahnya, semua calon membuat pengakuan dan menandatangani SD berkenaan secara rela hati dan dengan fikiran yang waras serta menurut Akta Akuan Berkanun 1960.