JOHOR BAHRU, 26 Feb – Perikatan Nasional (PN) tetap melaungkan dakwaan mereka bahawa calon-calon Barisan Nasional (BN) adalah penyokong kluster mahkamah biarpun senarai dipertaruhkan bukan daripada kumpulan itu.

Pengarah PRN Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, calon-calon yang ditampilkan BN semata-mata untuk memastikan ‘kumpulan kluster mahkamah boleh dipertahankan’.

Katanya, berbeza dengan PN yang meletakkan integriti salah satu agenda utama bagi memberi jaminan negeri dan kerajaan yang stabil sekali gus mengelakkan pemimpin yang dipilih dipersoalkan semula oleh rakyat.

“Kita hendak supaya kerajaan PN nanti adalah mereka yang telah pun melalui saringan integriti serta pastikan calon yang kita pilih itu tahu apa rakyat mahukan.

“Walaupun yang bertanding bukan kluster mahkamah tetapi mereka juga adalah penyokong kluster mahkamah. Rakyat tidak mahu mempertahankan orang yang menyokong (kluster mahkamah),” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis pengumuman calon PN di Pulai Spring Resort, Johor Bahru di sini kelmarin.

Terdahulu, Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis sama memaklumkan calon-calon PN yang bertanding sudah melalui saringan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi.

Katanya, ia bagi mengelakkan calon yang ditampilkan tidak terpalit dengan kes-kes mahkamah, rasuah dan kebankrapan.

Hamzah yang juga Setiausaha Agung PN berkata, sesuatu kerajaan hanya disifatkan stabil apabila sesebuah negeri itu dipimpin oleh mereka yang terdiri daripada individu yang terbaik serta tidak dipersoalkan dari segi integriti.

“Apa makna kestabilan jika pemimpinnya ada masalah. Apabila rakyat yakin, maka stabil lah negara itu.

“Negeri itu tidak akan stabil sekiranya orang tidak yakin untuk melabur disebabkan semua pemimpinnya dipersoalkan. Inilah yang nak kita lakukan (apabila meletakkan integriti keutamaan pada calon),” jelasnya.

Ahli Parlimen Larut itu berkata, jentera PN kali ini lebih tersusun berbanding di Melaka sebelum ini yang tidak banyak persediaan dapat dibuat ekoran DUN tiba-tiba dibubarkan.