KUALA LUMPUR, 27 Feb – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin, menerima dua anugerah daripada Universiti Teknologi Maklumat dan Sains (UITS) serta Universiti Asia Pasifik di Bangladesh.

Menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) dalam satu kenyataan, penganugerahan daripada UITS adalah sebagai menghargai sumbangan beliau kepada pemerkasaan wanita.

Anugerah disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah UITS dan Pengarah Urusan Keluarga PHP, Mohammed Iqbal Hossain, di sebuah hotel di Dhaka, kelmarin, sempena lawatan rasmi Zuraida ke Bangladesh.

Yang turut hadir pada majlis itu ialah Naib Canselor UITS, Profesor Mohammad Solaiman.

Menurut pihak universiti itu, Zuraida adalah contoh teladan kepada wanita berdasarkan rekod prestasinya dalam mendorong agenda wanita.

“Zuraida juga merupakan presiden pengasas Majlis Pemimpin Politik Wanita Malaysia (COMWEL),” menurut kenyataan itu.

Pada majlis penyampaian anugerah itu, UITS turut menggesa Kerajaan Malaysia agar memudahkan peluang pendidikan tinggi kepada pelajarnya dan turut menonjolkan kemajuan Bangladesh, bukan saja dalam sektor tenaga manusia tetapi juga dalam bidang lain.

Zuraida berkata, beliau akan memajukan permintaan UITS untuk lebih ramai pelajarnya dapat melanjutkan pelajaran di Malaysia bawah biasiswa Kerajaan Malaysia.

Beliau turut menzahirkan perasaan puas hati terhadap hubungan dua hala yang erat antara kedua-dua negara dan optimis hubungan itu dapat dipertingkatkan lagi.

Sementara itu, Zuraida menerima Anugerah ‘Kesaksamaan Gender (Pemerkasaan Wanita)’ daripada Universiti Asia Pasifik yang berpangkalan di Dhaka.

Beliau menerima anugerah itu selepas menyampaikan ucaptama bertajuk ‘Kesaksamaan Gender Di Tempat Kerja Dan Kesan Terhadap COVID-19’.

Dalam ucaptamanya, Zuraida berkata sebagai ahli politik wanita, beliau akan terus memperjuangkan kesaksamaan gender, termasuk dalam penggubalan dasar.

Beliau turut berkongsi pengalamannya dalam sektor korporat, selain terbabit misi kemanusiaan di luar negara seperti Afghanistan dan Indonesia.

“Lawatan Zuraida ke Bangladesh bertujuan meningkatkan hubungan dua hala, termasuk membuka lebih banyak pasaran bagi komoditi Malaysia meliputi minyak sawit.

“Beliau juga melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina Wazed, di Istana Ganobhan pada hari sama,” menurut kenyataan itu lagi.