KUALA LUMPUR, 28 Feb – Kementerian Pendidikan memantau situasi pusat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kelantan dan Terengganu yang dilanda banjir ketika ini.

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Jidin berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Ketua Pengarah Pendidikan serta pegawai Lembaga Peperiksaan bagi merangka pelan tindakan seterusnya.

“Kementerian sentiasa memantau dan telah merangka pelan tindakan bagi memastikan peperiksaan SPM 2021 dapat dijalankan dalam keadaan selamat dan teratur,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.

Beliau juga mengakui, banjir yang melanda ketika ini memberi kesan kepada calon SPM yang berada di kawasan banjir.

“Dalam apa jua keadaan, calon boleh berhubung dengan guru kelas atau setiausaha peperiksaan di sekolah masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut.

“Kementerian akan mengeluarkan kenyataan media bagi memberi penjelasan lanjut berhubung perkara ini,” katanya.