CHUKAI, 28 Feb – Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM4.56 juta bagi membantu mangsa banjir di seluruh negara tahun ini.

Ketua Srikandi BERSATU yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata peruntukan itu disalurkan melalui agensinya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diagihkan dalam bentuk bekalan makanan dan kelengkapan diri seperti selimut kepada mangsa yang terjejas.

Beliau berkata setakat ini Kedah, Selangor, Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah, Johor dan Sarawak menerima peruntukan tertingggi, masing-masing sebanyak RM500,000.

“Sementara Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur masing-masing menerima peruntukan RM100,000 diikuti Melaka (RM150,000), Pulau Pinang (RM50,000), Perlis (RM30,000) dan Labuan (RM30,000).

“Peruntukan ini disalur kepada JKM negeri masing-masing untuk membuat persiapan barangan keperluan termasuk stok barangan yang disimpan di depoh bencana,” katanya kepada pemberita selepas lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Mentok di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah JKM Terengganu Mazura Ngah Abd Manan.

Dalam pada itu, Rina berkata setakat ini sebanyak 406 PPS masih dibuka di Kelantan dan 575 di Terengganu.

Mengenai agihan bekalan makanan dan keperluan untuk PPS di Terengganu, beliau berkata proses pengagihan berjalan lancar dengan bantuan pelbagai agensi.

“Setakat ini semua agihan barangan makanan dan keperluan di semua PPS termasuk di Terengganu yang tidak dapat diakses semalam telah dapat diselesaikan pada hari ini.

“Ia dapat dilaksanakan dengan bantuan agensi keselamatan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.