KUALA LUMPUR, 1 Mac – Kerajaan lebih bersedia malah telah bersiap siaga untuk menghadapi banjir baru-baru ini berbanding ketika negara dilanda banjir pada hujung tahun lalu.

Dalam Persidangan Dewan Rakyat hari ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad berkata, semua Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) negeri yang terlibat telah bersiap siaga untuk menjalankan operasi menyelamat dan pengurusan mangsa di pusat-pusat pemindahan (PPS) seusai menerima amaran hujan berterusan daripada MET Malaysia.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) telah mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan bermula 23 Februari 2022 lagi kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Negeri (JPBN) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Peringkat Daerah (JPBD) serta agensi-agensi yang terlibat.

“Notis kesiapsiagaan ini dikemaskini dari semasa ke semasa berdasarkan amaran cuaca terkini daripada pihak MET Malaysia.

“Bermula pada 26 Februari, Mesyuarat PKOB Pusat telah diadakan secara harian bagi mendapatkan situasi semasa keadaan banjir di lapangan serta mengenal pasti sebarang isu untuk intervensi peringkat pusat,” jelasnya.

Perkara itu dibangkitkan oleh Wan Hassan Mohd Ramli [Dungun- PAS] dengan meminta kerajaan menyatakan langkah-langkah drastik oleh kerajaan dalam menangani musibah banjir yang baru melanda negeri di Pantai Timur.