KULAI, 3 Mac – Rakyat di Ayer Hitam, khususnya DUN Semarang digesa keluar mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 12 Mac ini bagi menentukan kerajaan yang bakal dibentuk benar-benar menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat setempat.

Calon DUN Semarang, Shazani A Hamid berkata antara tumpuan yang akan diberikan adalah dari segi peluang pekerjaan dan perniagaan agar dapat menjana ekonomi setempat dan juga menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Apa yang saya harapkan supaya anak-anak muda dapat sama-sama membangunkan Ayer Hitam, khususnya DUN Semarang agar dapat mencipta peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih lagi kepada masyarakat di sini.

“Di samping itu, saya juga akan meneliti peluang warga DUN Semarang untuk memiliki rumah mampu milik, bukan sahaja sekadar mampu tengok,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Ikrar Calon PN PRN Johor dan Menandatangani Akuan Integriti di Senai pada Khamis.

Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam manifesto tersebut, tawaran inklusif yang bertemakan ‘Demi Bangsa Johor’ itu bertujuan memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri dalam pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

Ujar beliau, lapan tunjang yang ditawarkan adalah kepimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah, keutuhan ekonomi Johor, keutamaan tangani kos sara hidup, keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

Pada PRN Johor bagi kerusi DUN Semarang, Shazani akan menentang penyandang kawasan itu Datuk Samsol Bari Jamali (BN), Adzlan Raju (PEJUANG), dan Haryati Abu Nasir (PKR).

Bagaimanapun, Shazani menduduki calon ke tiga di dalam kertas undi.