KULAI, 3 Mac – Manifesto Perikatan Nasional (PN) untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dilancarkan semalam dilihat menyentuh secara menyeluruh di setiap peringkat usia.

Calon DUN Bukit Pasir Muhd Nur Iqbal Abd Razak berkata manifesto yang memfokuskan lapan tunjang utama merangkumi 24 strategi dan 144 pendekatan itu adalah suatu komitmen yang realistik dan praktikal bahawa kerajaan negeri yang bakal dibentuk kelak adalah sebuah kerajaan yang bersih, cekap dan prihatin rakyat.

“Manifesto yang dibentangkan menyentuh secara menyeluruh di setiap peringkat usia.

“Pelbagai perkara boleh dilakukan dalam menjana ekonomi rakyat setempat khususnya dalam pemulihan pasca COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Ikrar Calon PN PRN Johor dan Menandatangani Akuan Integriti di Senai pada Khamis.

Semalam, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam manifesto tersebut, tawaran inklusif yang bertemakan ‘Demi Bangsa Johor’ itu bertujuan memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri dalam pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

Ujar beliau, lapan tunjang yang ditawarkan adalah kepimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah, keutuhan ekonomi Johor, keutamaan tangani kos sara hidup, keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

Pada PRN Johor bagi kerusi DUN Bukit Pasir, Iqbal akan menentang Mohd Akhiri Mahmood (Pejuang), Mohamad Fazli Mohamad Salleh (BN), Elia Nadira Sabudin (PH), Johar Siraj (Bebas) dan Najib Lep (Bebas).

Bagaimanapun, Iqbal menduduki calon ke lima di dalam kertas undi.