KULAI, 3 Mac – Perikatan Nasional (PN) berharap rakyat Johor meyakini aku janji antirasuah yang diikrarkan kesemua 56 calon parti itu bagi berhadapan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac nanti.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PN akan menjadikan ikrar dan aku janji antirasuah itu sebagai amalan gabungan itu yang mendokong prinsip integriti dan menentang rasuah.

“Saya harap begitu (rakyat Johor yakin dengan PN). PN buat aku janji antirasuah untuk tunjukkan kepada rakyat Johor kesediaan kita untuk memerangi rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

“Saya yakin dengan ikrar dan aku janji ini, maka PN akan tingkatkan imej sebagai sebuah gabungan yang benar-benar berpegang pada prinsip, integriti, bersih, cekap dan prihatin, sekali gus akan diyakini rakyat Johor.

“Sebelum ini kita sudah lakukan di PRN Melaka dan sekarang ini di Johor pula. Ia adalah bukti jelas, kita buat sesuatu bukan dengan sambil lewa kerana kita anggap ia serius.

“Ini adalah sebagai satu peringatan penting bagi Johor menjadi permulaan yang baik. Rakyat Johor yang bijaksana tahu menilai bahawa nilai Islamik sebegini memang didokong oleh kita sewajarnya mereka menyokong kita. Itu harapan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Ikrar Calon PN PRN Johor dan Menandatangani Aku Janji Antirasuah, di Senai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, beliau tidak dapat menghakimi terhadap tindakan mana-mana pihak yang melakukan sumpah laknat di sebalik kes mereka yang sudah disabitkan mahkamah atau masih berjalan.

Katanya, sebagai orang Islam bersumpah dengan nama Allah itu sebagai satu sumpah yang berat.

“Ada hukum tertentu (bersumpah dengan nama Allah). Jadi sebagai orang Islam, jika sudah bersumpah tapi melanggar sumpah, itu tanggungan mereka.

“Saya tidak boleh jadi hakim jatuh hukum apa-apa. Itu antara dia dengan Tuhan. Oleh sebab itu adalah penting bagi kita apabila sudah bersumpah, kita perlu berpegang pada apa yang telah kita sumpah.

“Ini berat sebenarnya sebagai orang Islam apabila kita sudah bersumpah dan saya langgar, takut saya. Bahkan akan ada hukuman Allah akan jatuhkan pada kita,” katanya.

Ditanya tindakan pembangkang mengemuka usul meminta supaya Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa cuba mengelirukan dewan berhubung kenyataan mengenai prinsipal hutang 1MDB, Muhyiddin berkata, itu adalah hak Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Perkara ini (1MDB) dianggap kepentingan umum yang saya harap akan diterima Speaker.

“Namun menjadi hak Speaker untuk benarkan atau tidak tetapi kenyataan Najib semalam di Parlimen itu adalah satu kenyataan yang mengelirukan,” katanya.