PARIT YAANI, 4 Mac – Tiga perkara yang akan dilakukan segera untuk rakyat oleh calon Perikatan Nasional (PN) DUN Parit Yaani, Ahmad Nawfal Mahfodz sekiranya menang di kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

Perkara tersebut adalah sistem sokongan keperluan rakyat iaitu kemudahan kiosk bank, kemudahan mesin ATM dan sistem pengangkutan awam ke bandar.

Ahmad Nawfal berkata kemudahan kiosk bank dan mesin ATM amat diperlukan agar rakyat di kawasan itu tidak perlu lagi mendapatkan perkhidmatan tersebut di bandar.

“Ini berikutan dari segi geografi, kawasan DUN Parit Yaani terletak di pinggir bandar.

“Kemudahan sistem pengangkutan awam juga amat membantu penduduk setempat dalam memudahkan urusan mereka apabila bekerja di bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Ceramah Pilihan Raya DUN Parit Yaani malam tadi.

Turut hadir, Ketua Penerangan BERSATU Malaysia Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Rabu lalu, Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dalam Ikrar Perikatan Nasional PRN Johor, tawaran inklusif yang bertemakan ‘Demi Bangsa Johor’ itu bertujuan memastikan tiada golongan yang terpinggir daripada mendapat limpahan manfaat hasil pembangunan pesat negeri dalam pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

Ujar Muhyiddin, lapan tunjang yang ditawarkan adalah kepimpinan yang berintegriti dan bebas rasuah, keutuhan ekonomi Johor, keutamaan tangani kos sara hidup, keprihatinan kepada rakyat, kesejahteraan sosial, kecekapan infrastruktur, merancakkan sektor pelancongan dan kelestarian alam sekitar.

Mengulas lanjut mengenai Ikrar PN, Ahmad Nawfal mahu memantapkan perniagaan golongan muda terutamanya generas wanita muda di kawasan Parit Yaani.

Katanya, mereka sangat memerlukan dorongan dan sokongan dari segi memberikan pendedahan latihan kursus dan kemahiran supaya dapat menjana ekonomi setempat.

“Kita mempunyai ruang yang cukup besar untuk mengembangkan perniagaan-perniagaan anak muda dan saya boleh sebut di Paarit Yaani kita boleh beri tumpuan kepada generasi muda wanita.

“Mereka sangkat perlukan dorongan dan sokongan. Ini sangat realistik. Sokongan yang dimaksudkan telah digariskan dalam Ikrar PN di negeri johor.

“Potensi sangat luas. Golongan ini perlu dibantu, mereka ada kelebihan dan mampu jana ekonomi,” katanya.