KUALA LUMPUR, 5 Mac – Kementerian Pendidikan memaklumkan sesi persekolahan Penggal 1, Kalendar Akademik Sesi 2022/2023 bagi semua sekolah di seluruh negara akan tetap dibuka bermula 21 Mac ini.

Bagaimanapun, masih ada murid yang perlu hadir secara bersemuka, penggiliran dan mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan (Pendidikan), Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, bagi peringkat rendah dengan murid melebihi 600 orang, murid yang hadir tanpa penggiliran adalah murid berkeperluan khas (MBK), Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI), Tahun 1, Tahun 2, Tahun 6 dan semua murid penerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

Beliau berkata, murid Tahun 3, Tahun 4 dan Tahun 5 pula akan hadir secara penggiliran dan ketetapan sama turut terpakai bagi sekolah swasta, ekspatriat dan antarabangsa.

“Bagi sekolah rendah yang jumlah muridnya di bawah 600 orang, semua murid rendah harian dan swasta perlu hadir tanpa penggiliran.

“Sekolah rendah swasta termasuk ekspatriat dan antarabangsa dengan jumlah murid melebihi 600 orang, mereka boleh mengemukakan permohonan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya,” katanya menerusi rakaman video di Facebook hari ini.

Dalam pada itu, bagi peringkat menengah pula, Radzi berkata, semua murid akan hadir secara bersemuka bermula pada 4 April ini dan mereka akan menjalani PdPR bermula 21 Mac ini selama dua minggu.

Menurutnya, selepas 4 April, semua murid menengah akan hadir tanpa penggiliran bagi semua tingkatan, pra universiti dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

“Bagi sekolah berasrama sepenuhnya pula, murid yang perlu hadir ke sekolah tanpa penggiliran adalah murid Tingkatan 1, 2, 3, 4, 5, 6, pra universiti, International Baccalaureate Diploma Programme (IBDP) dan peperiksaan setara.

“Manakala, murid Tingkatan 1 yang berjaya memasuki sekolah berasrama boleh memilih sama ada menjalani PdPR atau menumpang di sekolah harian berdekatan sehingga tarikh kemasukan ke sekolah diumumkan.

“Bagi sekolah swasta berasrama sepenuhnya dan mempunyai kapasiti menguruskan murid, mereka boleh beroperasi sepenuhnya termasuk murid baharu Tingkatan 1,” katanya.

Bagi kolej vokasional dan kolej matrikulasi pula, katanya, sesi persekolahan berlangsung tanpa penggiliran dan mengikut takwim pengajian akademik masing-masing.

Manakala, bagi Institut Pendidikan Guru (IPG) pula, Radzi berkata, pelajar perlu hadir tanpa penggiliran mengikut takwim akademik masing-masing.

“Ia membabitkan Program Persedian Ijazah Sarjana Muda Perguruan, Program Ijazah Sarjana Perguruan, Program Diploma Pascasiswazah, Program Diploma Perguruan Malaysia dan Program Intervensi Tambah Opsyen,” katanya.