MUAR, 6 Mac – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencabar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berdebat dengannya mengenai isu Felda.

Katanya, debat itu hendaklah dilakukan sebelum proses pengundian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 12 Mac ini.

“Isunya Felda dimusnahkan di zaman pentadbiran beliau ketika itu. Kita ada fakta-fakta bagaimana pembelian banyak hartanah di luar negara (seperti) di Kensington, di Sarawak dan sebagainya.

“Itu masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pihak polis. Kertas Putih itu telah pun membuktikan bahawa pengkhianatan terhadap peneroka Felda.

“Itu terlalu jelas dan beliau tidak boleh mendabik dada bahawa UMNO menyelamatkan Felda,” dakwanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Ceramah Umum Ikrar Demi Bangsa Johor di markas PAS kawasan Muar, cawangan Parit Pechah pada Sabtu.

Azmin yang merupakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga mendakwa, kepimpinan Najib telah menghancurkan peneroka dan masa depan Felda.

“Saya sebut tadi angka-angka bagaimana tanah-tanah Felda dipajak kepada FGV, sebelum itu pendapatan Felda amat besar untuk menampung operasi Felda dan juga kebajikan peneroka Felda.

“Tetapi akhirnya lihat saham FGV merudum daripada RM4.55 kepada 64 sen, hutang Felda melebihi RM10 bilion, terpaksa mengambil sukuk dan ini terpaksa ditanggung oleh kerajaan.

“Ini semua harus dizahirkan dan dimaklumkan kepada peneroka Felda untuk memberikan ruang dan kesempatan kepada Perikatan Nasional untuk terus membela nasib mereka dan masa depan Felda,” jelasnya.

Mengulas mengenai kaedah debat, Ahli Parlimen Gombak itu terbuka dengan pelbagai kaedah.

“Apapun boleh. Secara maya juga boleh sebab norma baharu,” katanya.