JOHOR BAHRU, 7 Mac – Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Johor mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan segera ke atas aduan melibatkan kerosakan beberapa poster milik Perikatan Nasional (PN) ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Armada BERSATU Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, pihaknya mahu supaya pendakwaan dan hukuman dilakukan segera dalam tempoh kempen PRN Johor supaya memberi iktibar kepada semua penyokong mahupun kepemimpinan parti lain.

Katanya, Armada Johor menyarankan semua pendokong serta kepemimpinan parti politik di negara ini harus berusaha membentuk persekitaran politik lebih bersih, matang, profesional, berintegriti serta beretika termasuk merangkumi proses kempen pilihan raya.

“Dalam keghairahan semua parti meraih sokongan untuk membantu calon masing-masing, perkara asas yang amat penting untuk mempertahan ketenteraman adalah sikap saling menghormati. Saranan ini berikutan kebimbangan kami terhadap keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang tempoh kempen PRN Johor ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Armada Johor mengeluarkan kenyataan itu susulan kejadian merosakkan kanvas atau menumbangkan struktur poster kempen PN dikesan berlaku di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tiram dan Buloh Kasap.

Sementara itu, Armada Johor mencadangkan polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memanggil wakil parti yang terlibat dengan mana-mana kesalahan tersebut untuk tujuan kaunseling.

“Ini supaya mereka memainkan peranan atau menyumbang kepada usaha ke arah memahami dan mencapai aspirasi kempen politik lebih beretika serta berintegriti pada masa depan,” katanya.