ISKANDAR PUTERI, 7 Mac – Perikatan Nasional (PN) membuat laporan polis hari ini, selepas petugas kempennya diserang beberapa individu ketika memasang bendera di Kampung Tebing Runtuh, Gelang Patah, di sini.

Sujali Ahmad yang dikenali sebagai Pak Ali berkata, semasa kejadian, beliau didatangi lapan individu yang melarang jenteranya memasang bendera di kawasan tersebut dengan tiga orang daripada kumpulan itu memukul tangan serta mencekik lehernya, selain merosakkan kenderaannya.

“Saya telah didatangi tiga orang, kemudian disusuli lima orang. Sepanjang provokasi, saya telah dikasari tiga orang yang memukul dan memaki hamun serta mengugut saya dengan kata-kata kesat.

“Akibat kejadian itu, saya mengalami kecederaan di bahagian dada dan kedua belah tangan serta kereta saya dirosakkan,” katanya dalam sidang media bersama Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan di di Bilik Gerakan Utama PN di Taman Scientex Utama Senai, selepas membuat laporan di Balai Polis Iskandar Puteri 10 pagi tadi.

Video memaparkan beberapa individu bertengkar itu tular di media sosial sejak semalam dan dipercayai berlaku kira-kira 6 petang.

Sujali berkata, jenteranya dilarang memasang bendera di kawasan itu oleh lapan individu terbabit kerana mendakwa PN bukan parti yang mereka sokong.

“Mereka tak bagi masuk sebab bendera parti kami nak pasang bukan daripada parti dia dengan mendakwa jalan tersebut jalan mereka, sedangkan kami pasang bendera di jalan utama. Kejadian itu tak sepatutnya berlaku, ini pilihan raya, semua bebas berkempen dan pasang bendera.”

Sementara itu, Wan Saiful berkata, kejadian yang disifatkannya biadap, “gengster” dan tidak menghormati prinsip demokrasi itu tidak sepatutnya berlaku.

“Insiden tersebut amat membimbangkan kerana ia juga melibatkan nyawa dan keselamatan petugas PN,” katanya.