ISKANDAR PUTERI, 8 Mac – Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan membidas Datuk Seri Najib Razak kerana mencabar Tan Sri Muhyiddin Yassin berdebat, sambl menyifatkan Ahli Parlimen Pekan itu “tidak layak” untuk mencabar Presiden BERSATU kerana telah “disabitkan” dengan jenayah rasuah.

Wan Saiful berkata, Najib hanya perlu menerima cabaran Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Azmin Ali untuk berdebat mengenai isu FELDA, bukannya mencipta pelbagai alasan.

“Saya rasa Najib tak layak bercakap dengan Muhyiddin, dia kena sedar diri,” katanya dalam sidang media pada Isnin.

Wan Saiful memetik sabitan Najib atas tujuh pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram dalam kes SRC International.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Pekan itu kekal bebas sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Persekutuan berhubung sabitan kes tersebut.

“Cabaran Azmin dia tak boleh jawab, dia cabar sana sini debat dengan Muhyiddin,” kata Wan Saiful selain menambah bahawa Najib “takut” untuk berdebat dengan Azmin kerana Menteri Kanan itu telah banyak berjasa kepada FELDA.

Semalam, Najib mencabar Muhyiddin berdebat mengenai FELDA.

Ini susulan tindakan Azmin mencabar Najib berdebat menjelang hari pengundian pada pilihan raya negeri (PRN) Johor 12 Mac ini.