JOHOR BAHRU, 8 Mac – Kepimpinan telus dengan rekod perkhidmatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang bersih khususnya di peringkat pusat akan dapat memberi kelebihan kepada Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, rakyat masih mengingati jasa Pengerusi PN itu dan ia dapat dilihat dalam setiap sesi pertemuan yang diadakan dengan rakyat negeri ini.

“Apabila kita pergi ke mana-mana di Johor, orang masih mengingati Tan Sri Muhyiddin dan berasa yakin dengan kepemimpinan beliau, ini termasuk sumbangan beliau sebagai Menteri Besar Johor dan Perdana Menteri.

“Beliau antara Menteri Besar paling berjaya dalam sejarah Johor moden dengan rekod pentadbiran yang bersih, rakyat juga akan membandingkan legasi beliau sebagai Menteri Besar Johor dengan rekod pemimpin parti lain yang rasuah.

“Ini antara aspek yang akan dilihat oleh pengundi di negeri ini selain beliau juga Presiden Bersatu yang turut menjadi satu kelebihan,” katanya selepas melawat bilik gerakan Bersatu Bahagian Pasir Gudang di Bandar Seri Alam, pada Isnin.

Saifuddin berkata, pengundi sedar kejatuhan Muhyiddin bukan kerana kegagalan dalam mentadbir kerajaan sebaliknya adalah kerana permainan politik pihak berkepentingan.

“Orang ramai faham keadaan ini, kerana pengundi sudah cerdik dan mereka faham dengan apa perkara yang telah berlaku,” ujarnya.