KUALA LUMPUR, 8 Mac – Presiden BERSATU yang juga Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa kenyataan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak bahawa rakyat tidak terbabit dalam pembayaran hutang 1MDB adalah tidak benar dan mengelirukan.

Muhyiddin yang merupakan bekas perdana menteri berkata, kerajaan terpaksa membayar hutang 1MDB sebanyak RM50 bilion selepas syarikat berkenaan gagal membayar hutang berkenaan kerana ia dijamin oleh kerajaan.

“Jumlah yang dibayar setakat Januari tahun ini berjumlah lebih RM13 bilion dan hutang yang dibayar itu menggunakan duit rakyat,” katanya pada sesi Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, atas sebab itu, semasa menjadi Perdana Menteri, beliau menubuhkan pasukan khas untuk menjejak dan merampas wang serta aset 1MDB yang disorokkan di luar negara.

“Tindakan itu dilakukan bagi membolehkan kita dapat membayar sebahagian hutang ditinggalkan syarikat berkenaan.

“Saya difahamkan setakat ini lebih RM20 billion wang dan aset 1MDB telah berjaya dirampas semula oleh kerajaan dan dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset yang akan digunakan untuk membayar sebahagian hutang 1MDB.

“Bayangkan jika Pekan masih Perdana Menteri. Saya tidak fikir dia akan tubuhkan sebuah Pasukan Petugas Khas untuk mencari wang dan aset 1MDB yang hilang,” jelas Muhyiddin.

Dalam kata itu katanya, kerosakan akan melanda negara sekiranya integriti tidak dijadikan pegangan pemimpin yang mentadbir kerajaan.