KUALA LUMPUR, 8 Mac – Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak tahu kenapa sempadan negara belum dibuka semula sepenuhnya.

Dengan merujuk kepada kadar vaksinasi tinggi, bekas Perdana Menteri itu memberitahu Dewan Rakyat bahawa MPN sudah menggesa sempadan negara dibuka semula pada awal Mac untuk merangsang sektor seperti pelancongan dan perdagangan.

“Saya tak nampak apa alasan untuk penangguhan itu kerana negara lain dengan kadar vaksinasi rendah sudah membuka semula sempadan mereka,” katanya ketika perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Pada 8 Feb lalu, Muhyiddin (Bersatu-Pagoh) berkata, sempadan Malaysia patut dibuka semula menjelang 1 Mac tanpa kuarantin wajib kerana negara mencatatkan kadar vaksinasi tinggi dan kemasukan ke hospital yang rendah.

Tanpa menyatakan sebarang tarikh, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob pada 5 Mac lalu mengesahkan sempadan negara akan dibuka semula tidak lama lagi dan ia akan membolehkan rakyat yang sudah lama tidak bersua muka dapat pulang, terutama ketika Aidilfitri pada Mei nanti.

Dengan merujuk kepada entiti penyelidikan seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) yang menyatakan ekonomi negara semakin meningkat, Muhyiddin menekankan bahawa negara telah menarik lebih RM220 bilion pelaburan diluluskan untuk sektor pembuatan dan perkhidmatan pada tahun lalu.

Disebabkan indeks pengeluaran perindustrian dan eksport negara menunjukkan tanda positif sepanjang 2021, beliau menjangkakan ekonomi negara akan pulih sepenuhnya daripada kesan Covid-19 dalam “dua hingga tiga tahun lagi”.

“Sektor berkaitan pelancongan seperti hotel dan pengangkutan, belum pulih kerana kita belum membuka semula sempadan kita kepada pelancong antarabangsa,” katanya.