KUALA LUMPUR, 9 Mac – Pengumuman pembukaan sempadan negara pada 1 April ini dilihat mampu memulihkan semula sektor yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 terutama sektor pelancongan dan perdagangan.

Presiden BERSATU yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau menyambut baik pengumuman itu sebagai satu langkah positif dalam proses pemulihan negara.

Beliau berkata, keputusan ini dibuat selari dengan syor MPN pada 8 Februari lalu untuk pembukaan semula sempadan negara tanpa keperluan kuarantin wajib.

“Ketika ini, Malaysia memainkan peranan penting dalam rangkaian bekalan dunia dan penutupan pintu sempadan yang berpanjangan akan menjejaskan posisi dan kebolehan daya saing Malaysia di peringkat perdagangan antarabangsa.

“Insya-Allah, Malaysia akan terus berada pada landasan tepat untuk pemulihan ekonomi negara yang diunjurkan berkembang antara 5.5 hingga 6.5 peratus tahun ini,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Bagaimanapun, katanya, beliau berharap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan terutama di pintu sempadan negara tidak membebankan dan senang difahami orang ramai.

Muhyiddin berkata, beliau juga menegaskan supaya semua pihak mematuhi SOP dan peraturan ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) apabila pintu sempadan dibuka kelak.

“Dengan peralihan ke fasa endemik Covid-19, diharapkan agar rakyat Malaysia terus mengamalkan norma-norma baharu dan cekal bagi memastikan diri dan keluarga sentiasa terlindung.

“Bagi mereka yang masih belum mendapat dos vaksin penggalak Covid-19, saya ingin menyeru kepada mereka untuk berbuat demikian secepat mungkin agar terlindung daripada kesan-kesan serius virus ini,” katanya.