KOTA KINABALU, 10 Mac – Walaupun sebelum ini terdapat perbezaan pandangan mengenai pendaftaran Gabungan Rakyat Sabah (GRS), akhirnya pendaftaran gabungan itu telah dikemukakan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Timbalan Ketua Badan Perhubungan Negeri BERSATU Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, permohonan untuk mendaftarkan GRS dikemukakan kepada ROS pada dua minggu lalu.

“Kami masih menunggu (kelulusan) kerana mereka (ROS) meminta maklumat lanjut namun, kami belum lagi memberikannya (maklumat diperlukan),” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan program pemberian imunisasi vaksin dewasa, kanak-kanak dan dos penggalak di Wisma Innoprise hari ini.

Beliau berkata demikian semasa mengulas mengenai proses pendaftaran GRS sebagai gabungan parti politik rasmi di Sabah.

Mengulas mengenai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Masidi berkata, negara ini mengamalkan sistem demokrasi maka sesiapa sahaja boleh menubuhkan parti baharu.

Namun, beliau tidak mengulas tentang hasrat KDM mahu menyertai GRS.

Sebelum ini, Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau tidak melihat isu pendaftaran GRS memberi sebarang kesan kepada politik Sabah.

“Saya melihat GRS ini sama ada didaftar atau tidak, ia tidak mendatangkan apa-apa impak kepada mana-mana pihak kerana GRS ini cuma platform mewujudkan sebuah kerajaan,” katanya.

Pada Sabtu lalu, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili memberi gambaran awal mengenai barisan kepimpinan GRS namun, barisan kepimpinan secara rasmi hanya akan diumumkan oleh Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor sebaik sahaja gabungan parti politik itu didaftarkan.